Bomba terus pantau banjir di Sabah, Sarawak melalui PGOK
Bernama
Februari 3, 2025 17:32 MYT
Februari 3, 2025 17:32 MYT
KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan terus memantau keadaan banjir di Sabah dan Sarawak menerusi Pusat Gerakan Operasi Kebombaan Kebangsaan (PGOK).
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Datuk Ahmad Izram Osman berkata pihaknya akan memantau keadaan di kedua-dua negeri itu secara langsung dari Putrajaya bagi mendapatkan segala maklumat kejadian yang berlaku.
"Menerusi PGOK ini kita akan memperoleh maklumat yang terbaharu dan melaluinya juga kita akan dapat mengetahui apa tindakan yang perlu dilaksanakan selepas itu," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Kunjungan Hormat dan Sumbangan Bantuan Banjir kepada pegawai dan anggota yang terkesan banjir di Kelantan di Ibu Pejabat JBPM Kelantan di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah JBPM Kelantan Farhan Sufyan Borhan.
Ahmad Izram berkata maklumat yang diperoleh daripada PGOK juga sudah pasti akan memudahkan urusan pegawai dan anggota menjalankan tugas di lokasi termasuk tanah runtuh dan sebagainya dengan pantas.
Sementara itu, Farhan Sufyan berkata JBPM Kelantan menerima 1,680 panggilan kecemasan ketika Monsun Timur Laut pada tahun lepas.
"Sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 97,487 mangsa daripada 30,615 keluarga telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara termasuk 72 keluarga pegawai, bantuan dan gunasama bomba.
"Jumlah kerugian melibatkan pegawai dan anggota bomba di Kelantan pula mencecah RM682,500," katanya.
-- BERNAMA
#banjir Sabah Sarawak
#Pusat Gerakan Operasi Kebombaan Kebangsaan
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
#pemantauan