Bomba terpaksa mendaki hampir 10 km untuk padam kebakaran hutan
Bernama
Februari 27, 2021 00:08 MYT
Februari 27, 2021 00:08 MYT
IPOH: Anggota bomba terpaksa mendaki hampir 10 kilometer bagi menjalankan operasi memadam kebakaran hutan di kawasan seluas 16 hektar di Kampung Sindu, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai di sini sejak petang Khamis lepas sebelum berjaya melakukannya petang tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Azmi Osman berkata keadaan kawasan yang berbukit serta curam menyukarkan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai masuk ke lokasi dan memadam kebakaran itu.
"Pasukan bomba menghadapi kesukaran disebabkan keadaan bentuk muka bumi terutama kawasan berbukit dan sumber air yang terhad namun berjaya memadamkan kebakaran hutan itu selepas 45 jam," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Sabtu.
Beliau berkata 15 anggota yang terlibat terpaksa mendaki dengan membawa peralatan memadam kebakaran yang digunakan iaitu pemerap api serta 'jet shooter' dan mendapatkan air dari bukit bagi memadam kebakaran itu.
Azmi berkata cuaca panas dan kering disertai kawasan yang dikelilingi pokok resam turut mengakibatkan api merebak dengan cepat di lokasi kejadian.
Katanya setakat ini, punca kebakaran masih disiasat namun pihak bomba tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada individu yang menggunakan sumber nyalaan.
-- BERNAMA
#bomba
#mendaki
#Kampung Sindu
#Jalan Cameron Highlands
#simpang pulai
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak