Bomba terpaksa alih perhatian buaya lepaskan mayat mangsa

Radhi Muslim
Mei 19, 2022 22:28 MYT
Dalam kejadian itu, bahagian kaki mangsa dikenali sebagai Abdul Kadir, 30-an, gagal dikesan selepas mayatnya dibawa keluar dari sungai. - Gambar/ JBPM
KINABATANGAN: Seorang lelaki maut selepas separuh badannya dibaham buaya dalam satu kejadian di Ladang Lamag, dekat Sungai Pin, di sini, pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.20 petang itu, bahagian kaki mangsa dikenali sebagai Abdul Kadir, 30-an, gagal dikesan selepas mayatnya dibawa keluar dari sungai.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamaluddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 2.24 petang lalu menghantar lima anggota ke lokasi.
Menurutnya, sebaik tiba, anggota dimaklumkan mangsa yang juga seorang pekerja ladang berkenaan masih kelihatan berada di mulut buaya terbabit di kawasan sungai.
"Mangsa dilaporkan dibawa tenggelam timbul oleh haiwan tersebut. Anggota bersama penduduk di situ kemudiannya cuba mengganggu perhatian buaya itu agar mangsa dilepaskan.
"Beberapa jam kemudian mangsa dilepaskan dan pemeriksaan mendapati anggota badan mangsa hanya tinggal separuh sahaja," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi risiko di kawasan itu sebelum operasi ditamatkan pada jam 5.10 petang.
#lelaki dibaham buaya #bomba alih perhatian buaya #Kinabatangan #Ladang Lamag
;