Bomba terima lebih 6,000 panggilan kebakaran hutan sepanjang Feb
Bernama
Februari 24, 2014 08:00 MYT
Februari 24, 2014 08:00 MYT
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima lebih 6,000 panggilan kecemasan seluruh negara berkaitan kebakaran hutan sejak 1 Feb tahun ini berbanding purata 600 panggilan sebulan tahun lepas.
Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata peningkatan jumlah secara mendadak itu dijangka bertambah pada Mac depan berikutan perubahan cuaca panas dan kering yang diramal akan berlarutan.
Katanya setakat ini, jumlah kebakaran hutan tidak banyak berubah dan JBPM sentiasa bersedia untuk sebarang kemungkinan terutamanya kebakaran hutan tanah gambut berikutan cuaca yang semakin kering.
Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Wan Mohd Nor berkata kebakaran tanah gambut adalah lebih buruk berbanding kebakaran hutan lain kerana ia mampu menghasilkan asap tebal sehingga menjejas kesihatan orang ramai.
"Kita jangkakan sekiranya panas berterusan, keadaan akan jadi lebih serius dan mampu mengeringkan lebih banyak kawasan tanah gambut.
"Maka bomba sentiasa bersedia untuk menghadapi situasi ini dan kami mengingatkan orang ramai tidak cuba melakukan pembakaran terbuka lain kerana dalam cuaca panas begini, ia lebih mudah merebak," katanya.