Bomba Terengganu pantau 21 lokasi hakisan
Bernama
Januari 17, 2025 14:00 MYT
Januari 17, 2025 14:00 MYT
KUALA TERENGGANU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu menjalankan rondaan di 21 lokasi pantai tumpuan ramai yang kini diancam bahaya akibat hakisan.
Pengarahnya Nor Mahathir Muhammad berkata pemantauan itu bagi memastikan orang ramai tidak berkumpul dan menjalankan aktiviti rekreasi yang boleh membahayakan keselamatan.
Beliau berkata lokasi itu termasuk di daerah Kuala Nerus, Kemaman, Besut, Marang, Kuala Terengganu, Dungun dan Setiu.
"Lapan balai terlibat dengan tugas rondaan ini. Setiap pasukan terdiri lapan anggota yang bertugas secara tiga syif setiap hari, susulan jangkaan air pasang dan ombak besar melebihi tiga meter hingga 19 Jan.
"Oleh itu, kami menasihatkan orang ramai tidak menghampiri kawasan pantai terutama di kawasan hakisan teruk yang boleh mengundang bahaya pada musim Monsun Timur Laut (MTL)," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Nor Mahathir berkata berdasarkan pemantauan pihaknya mendapati terdapat segelintir masyarakat yang memandang remeh isu keselamatan dengan membawa keluarga bersiar di pantai pada musim MTL termasuk mengutip kerang terutama di Pantai Sura di Dungun.
"Orang ramai berduyun-duyun datang mengutip kerang di Pantai Sura seperti pesta tanpa memikirkan keselamatan diri walaupun telah diberikan amaran malah ada yang membawa anak kecil.
"Pada masa sekarang kelajuan angin boleh mencapai 60 kilometer sejam (km/j) dengan ombak setinggi 3.5 meter. Janganlah merisikokan keselamatan diri untuk keseronokan seketika," katanya.
Dalam perkembangan sama, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu Ruzaidi Mamat dalam kenyataan mengingatkan orang ramai agar mematuhi amalan keselamatan makanan dan memastikan semua kerang dimasak sempurna sebelum dimakan.
Beliau berkata analisis bakteria bagi sampel kerang di Pantai Sura yang diambil pihaknya pada Rabu lepas sedang dijalankan oleh Makmal Biosekuriti Perikatan Kuantan, Pahang dan keputusan penuh dijangka diumumkan dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, berdasarkan kajian pihaknya pada 2014; 2016; 2019; dan 2021, analisis makmal menunjukkan tahap bakteria Fecal coliform dan Escherichia coli (E.coli) dalam sampel kerang yang terdampar di pantai melebihi piawaian ditetapkan iaitu masing-masing mengatasi 300 MPN/100g dan 230 MPN/100g.
"Kerang dalam kategori ini diklasifikasikan sebagai Kelas B yang memerlukan pemasakan sempurna sebelum dimakan. Selain itu, kehadiran bakteria Vibrio parahaemolyticus yang bersifat meluas dalam persekitaran air laut turut dikesan dalam sampel terdahulu," katanya.
Beliau berkata pihaknya bagaimanapun mendapati tiada kehadiran plankton yang menghasilkan biotoksin dikesan dalam sampel air diambil di Pantai Sura pada hari yang sama.-- BERNAMA