Bomba Terengganu pamer semangat patriotik, 'kibar' Jalur Gemilang di dasar laut Pulau Bidong
Nur Fazlizai Ali
Ogos 31, 2021 08:28 MYT
Ogos 31, 2021 08:28 MYT
KUALA TERENGGANU: Jika sebelum ini perarakan Hari Kebangsaan antara acara yang dinanti-nantikan saban tahun dan menjadi kemuncak sambutan hari berkenaan.
Namun sejak pandemik COVID-19 yang melanda lebih setahun lalu, acara itu tidak lagi dianjurkan demi menjaga keselamatan bersama.
Bagaimanapun pelbagai wadah masih dilakukan bagi menterjemah serta menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, walaupun dalam norma baharu.
Di Terengganu, seramai 10 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mencipta kelainan pada sambutan tahun ini dengan 'mengibarkan' Jalur Gemilang di dasar perairan Pulau Bidong, lengkap memakai celoreng kebanggaan pasukan itu.
Pengarah (JBPM) Terengganu, Md Hilman Abd Rashid berkata, selaman mereka yang julung kali diadakan itu bukan sahaja untuk menyuntik semangat cintakan negara, malahan mampu memupuk semangat kerjasama dan berpasukan meskipun di dalam air.
Katanya, ia juga secara tidak langsung menguji kecekapan para pegawai dan anggotanya mengendalikan tugasan yang diberikan.
"Sebab itu kita rasa kali ini kita buat kelainan, kalau hari biasa sambutan kita buat di Dataran Merdeka contohnya, di Dataran Putrajaya kita buat sambutan Hari Kebangsaan.
"Kali ini memang sambutan itu tidak ada lagi, jadi setiap agensi menyambut Hari Kebangsaan ini berbeza dengan cara tersendiri," katanya.
Beliau berkata meskipun bergelut dengan pelbagai tugasan termasuk terlibat dengan pengurusan sanitasi lokasi dan pengebumian mangsa jenazah COVID-19, namun itu tidak menghalang mereka untuk menyambut Hari Kebangsaan yang ke-64.
Katanya, situasi yang melanda itu tidak melunturkan semangat mereka untuk bekerja dengan lebih keras di samping memerangi pandemik COVID-19.
Md Hilman berkata bagi menaikkan semangat anggota dan pegawainya, sambutan itu turut dilaksanakan di seluruh balai secara maya.