Bomba terbangkan kanak-kanak Orang Asli sesak nafas ke hospital

Bernama
September 10, 2023 12:48 MYT
Kanak-kanak itu diiringi ibunya dibawa keluar dari perkampungan tersebut menggunakan pesawat Agusta Westland 139 (AW139) pada 12.09 tengah hari. - Gambar/ Bernama
GUA MUSANG: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan penerbangan pemindahan perubatan (Medevac) seorang kanak-kanak lelaki Orang Asli yang sesak nafas dari Kampung Bihai Lama, Pos Bihai untuk menerima rawatan lanjut di Hospital Gua Musang, semalam.
Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pangkalan Udara Wilayah Utara, Pulau Pinang, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Akmaluddin Said berkata Arafel Danas Addy yang berusia dua tahun yang diiringi ibunya Sawana John, 33, dibawa keluar dari perkampungan tersebut menggunakan pesawat Agusta Westland 139 (AW139) pada 12.09 tengah hari.
Beliau berkata kanak-kanak berkenaan turut mengalami demam panas, selain batuk, selesema dan cirit-birit.
"Pesawat berlepas tiba di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang pada 11.37 pagi untuk mengambil seorang petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menyertai misi pemindahan di Pos Bihai, selepas selesai melakukan penugasan di Pos Lemoi, Pahang.
"Setibanya anak kapal di Pos Bihai mendapati pesakit dalam keadaan bernafas laju dan menyusu hanya sedikit dan keadaan sudah berlarutan dua hari," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Muhammad Akmaluddin berkata pesawat tiba semula di BBP Gua Musang pada 12.18 tengah hari bersama pesakit untuk dipindahkan ke hospital dengan menaiki ambulans.
Beliau berkata operasi yang diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Farhan Marzuki bersama empat kru termasuk dirinya selamat tiba di Pangkalan Udara Wilayah Utara, Pulau Pinang pada 4 petang.
"Keadaan cuaca berawan rendah dan keseluruhan operasi melibatkan dua lokasi berbeza (Pos Lemoi dan Pos Bihai) berjaya dilaksanakan dalam tempoh 4 jam 30 minit masa penerbangan," katanya.
-- BERNAMA
#bomba #unit udara #Orang Asli #Hospital
;