Bomba terbangkan kanak-kanak Orang Asli ke hospital

Bernama
Disember 24, 2024 11:45 MYT
Pesakit mengalami demam panas, sesak nafas, cirit-birit dan muntah berlarutan selama enam hari. - Foto Facebook/Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
GUA MUSANG: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan penerbangan pemindahan perubatan (Medevac) seorang kanak-kanak lelaki Orang Asli dari Kampung Dakoh, Pos Balar untuk menerima rawatan lanjut di Hospital Gua Musang, semalam.
Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pangkalan Wilayah Tengah Subang, Selangor, Penolong Penguasa Bomba Mohd Rizzan Jefri berkata pesakit Hisyam Roday, 2, mengalami demam panas, sesak nafas, cirit-birit dan muntah berlarutan selama enam hari.
"Pesakit yang diiringi kedua ibu bapa dibawa menaiki pesawat Agusta Westland (AW) 139 pada 1.35 tengah hari dari Kampung Dakoh dan tiba pada 1.48 tengah hari di Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang sebelum dihantar ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.
-- BERNAMA
#Orang Asli #JBPM #Kanak-kanak #medevac
;