Bomba tangkap ular sawa 50 kilogram berlingkar di pintu empangan

Abd Razak Mohd Ali
April 10, 2022 16:36 MYT
Seorang anggota bomba sedang cuba menangkap ular sawa terbabit menggunakan alat penjerut. - JBPM
LENGGONG: Lima anggota bomba membantu menangkap seekor ular sawa seberat kira-kira 50 kilogram di Empangan Sungai Ulu Lenggong, di Kampung Ulu Lenggong, dekat sini, hari ini.

Ular sawa yang panjangnya kira-kira enam meter (20 kaki) itu ditemukan di pintu empangan berkenaan.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai perkara itu pada 9.30 pagi.

“Dengan kekuatan lima anggota, ular itu dapat ditangkap menggunakan alat penjerut,” katanya di sini, hari ini.

Menurut jurucakap itu, ular tersebut kemudiannya diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak untuk tindakan selanjutnya.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Rahim Abdul Manan tamat jam 10.11 pagi.
#ular sawa #bomba #Empangan Sungai Ulu Lenggong #Perhilitan
;