Bomba siasat punca kebakaran kelab golf
Bernama
Disember 14, 2020 07:44 MYT
Disember 14, 2020 07:44 MYT
KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) masih menyiasat punca kebakaran bangunan di Mines Resort and Golf Club, dipercayai berpunca akibat disambar petir, petang semalam.
Pengarah JBPM Selangor Norazam Khamis berkata bangunan dua tingkat di kelab golf itu terbakar di tingkat satu dengan anggaran kemusnahan 30 peratus.
"Tiada mangsa terbabit dalam kebakaran di kawasan seluas kira-kira 929.0304 meter persegi itu," katanya ketika dihubungi, semalam.
Bomba menerima panggilan kecemasan pada 3.20 petang dan empat jentera bomba dengan 20 anggota tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian.
Kebakaran berjaya dikawal kira-kira 4.20 petang manakala jumlah kerugian juga sedang disiasat.
-- BERNAMA