Bomba sentiasa waspada hadapi gelombang banjir seterusnya

Bernama
Disember 23, 2022 16:59 MYT
Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir (dua, kiri) meninjau di sekitar sekolah selepas dilanda banjir baru-baru ini di Sekolah Kebangsaan Pulau Rusa Hilir hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA TERENGGANU: Meskipun banjir buruk yang melanda Terengganu mulai pulih, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) masih berwaspada dan bersiap siaga bagi menghadapi gelombang seterusnya.
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata buat masa ini tempoh cuti bagi kesemua anggota masih dibekukan kerana musim Monsun Timur Laut belum berakhir.
"Operasi bomba turut melibatkan bantuan kumpulan yang benar-benar memerlukan pertolongan... sebab itu kita sediakan dua helikopter yang sekarang berada di Akademi Bomba Wakaf Tapai di Marang untuk digerakkan bagi kes penyelamatan khas seperti membawa pesakit dan sebagainya.
"Untuk masyarakat juga walaupun telah dibenarkan pulang, langkah siap sedia perlu diambil serius kerana pengalaman banjir sebelum ini dan tahun-tahun yang lalu, jangkaan kawasan terlibat itu tidak sama jadi semua kena bersiap sedia," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan ke lokasi banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Rusa, di sini hari ini.
Dalam pada itu, katanya seramai 1,310 pegawai dan anggota bomba termasuk dari negeri lain telah terlibat dalam operasi penyelamatan dalam banjir buruk yang melanda Terengganu sejak Ahad lepas.
Bagi aset pula katanya, selain dua helikopter sebanyak 40 bot dan 43 jentera darat termasuk kenderaan pacuan empat roda dan lori telah digunakan dan jumlah aset itu mencukupi sekiranya berlaku gelombang banjir seterusnya.
Selain itu, Akmal Nasrullah berkata bomba juga giat menjalankan pembersihan di kawasan terjejas walaupun operasi pascabanjir belum bermula, kerana faktor lumpur yang akan mengeras dan menyukarkan kerja pembersihan jika lewat dilakukan.
-- BERNAMA
#banjir #JBPM #anggota bomba #KPKT
;