Bomba selamatkan warga emas pengsan di puncak Bukit Batu Putih

Abd Razak Mohd Ali
Jun 30, 2024 04:15 MYT
Anggota bomba telah memberi rawatan awal kepada warga emas dan membawa mangsa turun ke bawah dengan menggunakan pengusung.
GOPENG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak menyelamatkan seorang lelaki warga emas yang pengsan ketika melakukan aktiviti pendakian di Bukit Batu Putih, dekat sini, petang semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 6.13 petang.
Menurutnya, sebaik menerima panggilan kecemasan, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng dikejarkan ke lokasi yang jaraknya kira-kira sembilan kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi, didapati seorang lelaki Cina warga emas telah pengsan di atas puncak Bukit Batu Putih semasa membuat aktiviti mendaki bersama-sama tiga orang rakannya,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, anggota bomba telah memberi rawatan awal kepada mangsa dan membawa mangsa turun ke bawah dengan menggunakan pengusung.
Menurutnya, mangsa yang berusia 72 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah diserahkan kepada pihak perubatan untuk rawatan lanjut.
Katanya, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan selanjutnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Masjuliana Mohamad Zainudin tamat jam 8.23 malam.
#warga emas #pengsan #Bukit Batu Putih #JBPM Perak
;