Bomba selamatkan wanita cuba terjun dari bumbung jejantas Jalan Maharajalela

Afiezy Azaman
Mac 11, 2021 10:34 MYT
Seorang wanita yang cuba membunuh diri di Jalan Maharajalela berjaya diselamatkan pasukan bomba. -JBPM
KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang cuba membunuh diri dengan terjun dari atas bumbung jejantas Jalan Maharajalela di sini berjaya diselamatkan pihak berkuasa.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.57 pagi, pada Khamis.
Seramai 23 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah dan BBP Pudu digerakkan ke lokasi kejadian.
"Setibanya di lokasi, anggota mendapati wanita warga tempatan berusia 39 tahun itu mahu membunuh diri.
"Hasil tindakan pantas anggota Bomba berjaya menahan mangsa daripada berbuat demikian," katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut JBPM Kuala Lumpur berkata, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Orang ramai dialu-alukan membuat aduan sekiranya berhadapan masalah ketidakstabilan emosi.


Mereka boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi kepada para sukarelawan terlatih di Befrienders.
Befrienders adalah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.
Befrienders boleh dihubungi di talian 03-76272929 atau e-mel kepada sam@befrienders.org.my untuk bantuan.
Panggilan adalah percuma. 

#Jalan Maharajalela #JBPM #wanita warga tempatan #terjun #bumbung jejantas #bunuh diri #Befrienders
;