Bomba selamatkan tujuh pengunjung terkandas di Air Terjun Telaga Tujuh

Bernama
Oktober 3, 2020 23:55 MYT
Pihak bomba menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada pukul 5.02 petang. - Foto Sinar Harian/JBPM
LANGKAWI: Tujuh pengunjung ke pusat pelancongan Air Terjun Telaga Tujuh, dekat sini berdepan detik cemas apabila terkandas di puncak air terjun tersebut selepas gagal menyeberang akibat kejadian air deras, petang tadi.
Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Zamani Ismail berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada pukul 5.02 petang.
Beliau berkata sebaik menerima laporan, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Persiaran Putra telah digerakkan ke lokasi kejadian dan tiba pada pukul 5.20 petang.
"Di lokasi, anggota bomba telah menemukan empat orang penduduk tempatan Langkawi terdiri daripada seorang kanak-kanak dah tiga wanita dewasa berusia antara 10 dan 30 tahun.
"Selain mereka, terdapat tiga lagi pelancong tempatan dari Kuala Lumpur terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki berusia antara 37 dan 50 tahun terkandas di puncak air terjun akibat air yang deras dan tidak dapat menyeberang," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Zamani berkata anggota bomba kemudian menggunakan tali penyelamatan dan jaket keselamatan untuk membantu mangsa menyeberangi laluan air.
"Semua mangsa berjaya diselamatkan dan dibawa turun ke kaki bukit serta tidak mengalami seberang kecederaan," katanya.
-- BERNAMA
#bomba #Air Terjun Telaga Tujuh #terkandas #pusat pelancongan #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #JBPM
;