Bomba selamatkan tiga pemancing terperangkap arus sungai deras
Adie Sufian Zulkefli
Julai 22, 2022 21:26 MYT
Julai 22, 2022 21:26 MYT
PADANG TERAP: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membantu menyelamatkan tiga pemancing yang terperangkap di Sungai Pedu, hari ini.
Ketiga-tiga lelaki itu terperangkap selepas air dari Empangan Pedu dilepaskan mengakibatkan arus sungai deras dan paras air meningkat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, sebaik menerima panggilan pada jam 5.23 petang sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerang dikejarkan ke lokasi.
“Ketika tiba, terlihat ketiga-tiga mangsa berada di seberang sungai dalam keadaan takut selepas paras air naik mendadak dan aliran air menjadi deras.
"Seorang anggota terpaksa menyeberangi sungai yang mempunyai keluasan lebih tiga meter untuk mengikat tali pada pokok merintangi sungai.
“Mangsa berjaya diselamatkan dengan ditarik dengan tali menyeberangi sungai sehinggalah ke tebing sungai,” katanya ketika dihubungi.
Mohamadul Ehsan berkata, ketiga-tiga mangsa berusia 30-an berjaya diselamatkan oleh anggota bomba pada jam 6.25 petang.
Kesemua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.