Bomba selamatkan tiga mangsa terperangkap seberang sungai
Abd Razak Mohd Ali
November 27, 2022 18:26 MYT
November 27, 2022 18:26 MYT
TAIPING: Pasukan bomba berjaya menyelamatkan tiga mangsa yang terperangkap di seberang sungai di Kampung Air Kuning, dekat sini, petang ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 2.42 petang.
Menurutnya, ketika kejadian, mangsa yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita dipercayai mandi di kawasan berkenaan.
“Cuaca hujan menyebabkan air sungai naik mendadak sehingga ketiga-tiga mereka terperangkap,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut jurucakap itu lagi, anggota bomba menggunakan tali menyelamat untuk memindahkan mangsa dari seberang sungai.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mazli Abd Mutalib tamat jam 4 petang.