Bomba selamatkan pencari madu lebah terjatuh ke dalam cerun

Bernama
Mac 17, 2023 11:10 MYT
Mangsa berjaya dikeluarkan menggunakan tali dan alat pengusung kerana mangsa yang patah kedua-dua kakinya tidak dapat bergerak. - Foto BERNAMA
MARANG: Pasukan bomba mengambil masa hampir 30 minit untuk menyelamatkan seorang pencari madu lebah yang terjatuh dari sepohon pokok tualang sebelum terjunam ke dalam sebuah cerun di Bukit Jejulong dekat Kampung Jejulong, di sini malam tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai Roslan Yusuf berkata mangsa Azmi Ibrahim, 29, yang sedang mencari madu lebah terjatuh dari pokok tualang setinggi 28 meter sebelum terjunam ke dalam cerun sedalam 15 meter.
"Pihak bomba menerima panggilan pada 9.20 malam dan sebanyak tujuh anggota bergegas ke lokasi. Bomba berjaya sampai ke lokasi mangsa terjatuh kira-kira 11 malam kerana mengalami kesukaran untuk mencari mangsa berikutan keadaan gelap, berbukit serta bercerun. Mujurlah kami dibantu kira-kira 20 penduduk kampung yang turut sama mencari mangsa.
"Selepas hampir 30 minit mangsa berjaya dikeluarkan menggunakan tali dan alat pengusung kerana mangsa yang patah kedua-dua kakinya tidak dapat bergerak. Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Roslan berkata sebelum kejadian, mangsa bersama rakan Mohd Zaki Husin, 46, masuk ke dalam hutan di Bukit Jejulong selepas waktu asar untuk mencari madu lebah sebelum dia tergelincir di atas pokok lalu terjatuh ke dalam cerun.
Katanya, Mohd Zaki cuba membantu untuk mengeluarkan mangsa, namun tidak berjaya dan dia keluar dari hutan itu untuk mendapatkan pertolongan.
-- BERNAMA
#pencari madu lebah #terjatuh #cerun #bukit jelutong
;