Bomba selamatkan nenek terperangkap 5 jam dalam bilik mandi
Angelina Sinyang
Disember 21, 2019 17:52 MYT
Disember 21, 2019 17:52 MYT
Seorang nenek terpaksa menahan kesakitan selama lima jam selepas jatuh pitam dan sebelah tangannya tersangkut dalam saluran air di bilik mandi rumahnya sebelum diselamatkan oleh bomba pada petang Jumaat.
Kejadian berlaku jam 5 petang ketika warga emas berusia 74 tahun itu tinggal bersendirian di rumahnya di Jalan Eng Tai di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Mahmudin Narudin berkata, insiden menimpa mangsa disedari jirannya apabila mencari wanita itu di rumahnya pada jam 7.45 malam.
Katanya, jiran mangsa berasa hairan apabila tidak melihat kelibat wanita itu sejak petang lalu pergi ke rumah untuk mencarinya.
"Jirannya itu terkejut menjumpai mangsa yang bersendirian di rumah berada dalam keadaan terbaring dan tidak dapat bangun di sebelah mangkuk tandas di bilik mandi.
"Nasib baik, jirannya bertindak terus menghubungi pihak bomba untuk meminta bantuan bagi menyelamatkan mangsa," katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, pihak bomba dimaklumkan bahawa tanga kanan mangsa telah tersangkut di lubang air tersebut sejak jam 5 petang ketika mangsa mengalami pitam.
Mahmudin berkata, pihak bomba yang tiba di rumah mangsa telah bertindak menstabilkan mangsa dengan bantuan pihak ambulans terlebih dahulu, operasi mengeluarkan tangan mangsa dilakukan.
Katanya, bomba terpaksa memecah jubin lantai bilik mandi menggunakan mesin pemecah simen sebelum berjaya mengeluarkan tangan mangsa yang mengambil masa hampir dua jam.
“Operasi menyelamatkan mangsa ditamatkan pada jam 10.12 malam dan mangsa dihantar ke Hospital Sarikei oleh ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.