Bomba selamatkan lelaki selepas enam hari masuk hutan

Abd Razak Mohd Ali
Jun 9, 2023 07:40 MYT
Lelaki itu dikatakan memasuki hutan kira-kira jam 7 pagi Sabtu minggu lalu dan telah berada di dalam hutan berkenaan selama enam hari. - Foto JBPM
IPOH: Anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang lelaki yang memasuki hutan berhampiran Terminal Meru Raya, di sini, selepas dikatakan mengalami tekanan di tempat kerja.
Lelaki berusia 41 tahun itu dikatakan menaiki bas dari Kuala Lumpur dan mengambil keputusan untuk hidup di dalam hutan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mereka menerima panggilan mengenai perkara itu pada jam 11.44 malam tadi.
Menurutnya, lelaki itu dikatakan memasuki hutan kira-kira jam 7 pagi Sabtu minggu lalu dan telah berada di dalam hutan berkenaan selama enam hari, dengan berbekalkan makanan ringan.
Katanya, mangsa dapat dihubungi melalui telefon bimbit tetapi tiada rangkaian internet.
“Hasil maklumat daripada mangsa sendiri, dia memasuki hutan melalui Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhampiran Jabatan Audit Negara.
“Sampai di lokasi kejadian, komander operasi telah menghubungi mangsa dan lelaki itu memaklumkan dia mendengar kehadiran jentera bomba,” katanya dalam kenyataan pagi ini.
Menurutnya, anggota bomba yang bertugas telah membuat pencarian dan lelaki itu ditemui pada jam 2.46 pagi, pada jarak 3.2 kilometer.
Katanya, lelaki berkenaan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai Penolong Penguasa Sharudi Muhamad Halil tamat jam 3.53 pagi.
#Terminal Meru Raya #masuk hutan #tekanan di tempat kerja #Sabarodzi Nor Ahmad
;