Bomba selamatkan lelaki pengsan di puncak Gunung Datuk

Bernama
Jun 6, 2022 23:35 MYT
Sepasukan anggota dan pegawai dari BBP Kota serta balai bomba bantuan termasuk BBP Rembau dan BBP Tampin dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 11.18 pagi tadi. - Gambar hiasan
SEREMBAN: Seorang lelaki berusia 57 tahun yang dilaporkan pengsan ketika menjalankan aktiviti mendaki di Hutan Lipur Gunung Datuk, Rembau, dekat sini, hari ini diselamatkan bomba petang tadi.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota, Mohd Nazir Yusof berkata sepasukan anggota dan pegawai dari BBP Kota serta balai bomba bantuan termasuk BBP Rembau dan BBP Tampin dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 11.18 pagi tadi.
"Mangsa dijumpai separuh sedar di puncak gunung tersebut dan bomba berjaya menurunkannya ke kaki gunung dengan menggunakan 'sked stretcher' pada jam 7.42 malam dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan dan tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata semasa perjalanan ke kaki gunung pihaknya turut menyelamatkan seorang lelaki warga emas berusia 70 tahun yang mengalami cedera ringan di kaki dan dibawa turun menggunakan 'bucket stretcher.
-- BERNAMA
#Gunung Datuk #Rembau #pengsan #bomba
;