Bomba selamatkan kanak-kanak terperangkap dalam kereta di stesen minyak

Abd Razak Mohd Ali
Julai 27, 2021 12:22 MYT
Bomba membantu mengeluarkan mangsa yang dipercayai telah terperangkap di dalam kereta selama 10 minit. - Foto JBPM Perak
IPOH: Anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang terkunci di dalam kereta di sebuah stesen minyak di Chemor, dekat sini, hari ini.
Mangsa dikatakan ditinggalkan di dalam kereta dengan injin masih hidup sementara ibunya keluar untuk mengisi minyak.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 10 pagi.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati seorang kanak-kanak lelaki terperangkap di dalam kereta jenis Perodua Bezza.
“Mangsa dikatakan telah terperangkap dalam kereta selama 10 minit,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut jurucakap itu lagi, anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu kenderaan tersebut.
Mangsa terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #bomba #JBPM #stesen minyak #terkunci dalam kereta #Kanak-kanak #terperangkap #Chemor
;