Bomba selamatkan kanak-kanak 19 bulan terperangkap dalam kenderaan

Abd Razak Mohd Ali
April 13, 2022 11:33 MYT
Anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu kenderaan dan menyerahkan kanak-kanak yang terperangkap kepada bapanya. - Foto JBPM Perak
TANJUNG MALIM: Anggota bomba membantu menyelamatkan seorang kanak-kanak yang terperangkap di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda yang terkunci di sebuah stesen minyak di Behrang, dekat sini, hari ini.
Ketika kejadian, bapa mangsa dikatakan sedang mengisi minyak apabila kenderaan itu tiba-tiba terkunci.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 8.44 pagi ini.
“Anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu kenderaan itu dan menyerahkan kanak-kanak itu kepada bapanya,” katanya dalam kenyataan di sini.
Difahamkan kanak-kanak itu terkunci lebih 15 minit sebelum berjaya diselamatkan.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohd Nasir Ibrahim tamat jam 9.11 pagi.
#stesen minyak #anak terkunci dalam kereta #JBPM Perak #Behrang
;