Bomba selamatkan dua pendaki terkandas atas bukit
Abd Razak Mohd Ali
Ogos 21, 2021 07:26 MYT
Ogos 21, 2021 07:26 MYT
MANJUNG: Anggota bomba berjaya menyelamatkan dua lelaki yang terkandas ketika mendaki Bukit Ungku Busu, dekat sini, malam tadi.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 4.54 petang semalam.
Katanya, apabila tiba dilokasi, pihaknya mendapati terdapat dua mangsa terkandas di atas bukit dengan ketinggian 250 meter.
“Seorang lelaki berumur sekitar 20-an mengalami kekejangan kaki manakala rakannya tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Menurut jurucakap itu lagi, pihaknya telah memberi rawatan awal terhadap mangsa dan menggunakan pengusung untuk membawa mangsa yang cedera turun ke kaki bukit.
Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak perubatan untuk tindakan lanjut.
Operasi yang diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba Shuib Idris tamat sekitar jam 10.35 malam.