Bomba selamatkan bapa, tiga anak sesat di Gunung Lambak
Bernama
Januari 25, 2020 06:43 MYT
Januari 25, 2020 06:43 MYT
Seorang bapa bersama tiga anaknya ditemukan selamat, malam tadi, selepas mereka dilapor sesat ketika mendaki Gunung Lambak, dekat Kluang, petang Sabtu.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kluang Pegawai Bomba Kanan II Badrulhisyam Loi Abdullah berkata bomba menerima maklumat kejadian pada 7.23 malam dan tujuh anggota bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat kemudian menemukan kesemua mereka pada 8.24 malam.
"Kesemua mereka melibatkan lelaki berumur 42 tahun (bapa), dua anak lelakinya yang berumur 15 dan 20 tahun serta anak gadis berumur 17 tahun.
"Mereka ditemukan tanpa sebarang kecederaan pada ketinggian 1,200 kaki (365.76 meter) dan usaha sedang dilakukan untuk membawa mereka turun ke kaki gunung, malam ini juga," katanya menerusi kenyataan malam tadi.
Badrulhisyam berkata kesemua mereka yang merupakan penduduk Kluang, mendaki gunung setinggi 510 meter itu bersama empat individu lain, namun, keempat-empat individu berkenaan iaitu dua lelaki berumur 24 dan 20 tahun serta dua wanita berumur 21 dan 20 tahun, selamat turun ke kaki gunung, pada petangnya.
-- BERNAMA
#Badrulhisyam Loi Abdullah
#bomba
#Gunung Lambak
#kaki gunung
#Kluang
#mendaki
#operasi
#selamat
#sesat