Bomba selamatkan 60 mangsa terperangkap kejadian kepala air di Tangkak

Bernama
September 15, 2024 20:40 MYT
Seramai 60 individu terkandas akibat aliran deras air dari puncak Gunung Ledang akibat hujan lebat. - Sinar Harian
TANGKAK: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyelamatkan 60 pengunjung terperangkap dalam kejadian kepala air ketika beriadah di Air Terjun Gunung Ledang di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak Penolong Penguasa Bomba Rafiah Aziz berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian yang melibatkan kesemua pekerja kilang itu pada 12.51 tengah hari.
Beliau berkata sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux dengan kekuatan sembilan anggota digegaskan ke lokasi kejadian.
"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) mendapati seramai 60 individu terkandas akibat aliran deras air dari puncak Gunung Ledang akibat hujan lebat.
"Susulan itu, PKO bertindak membawa kesemua mangsa menyeberangi sungai menggunakan tali dengan selamat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya operasi ditamatkan sepenuhnya pada 3.18 petang.
-- BERNAMA
#bomba #Tangkak #kepala air #SAR #mangsa terperangkap #Air Terjun Gunung Ledang
;