Bomba selamatkan 38 mangsa terperangkap kejadian kepala air di Batang Kali

Bernama
Ogos 23, 2024 00:35 MYT
Ahmad Mukhlis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.04 malam tadi sebelum lapan anggota digerakkan ke lokasi kejadian. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyelamatkan 38 mangsa yang terperangkap dalam kejadian kepala air di sebuah tapak perkhemahan di Ulu Rening, Batang Kali, Selangor.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.04 malam tadi sebelum lapan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
"Kejadian melibatkan 38 mangsa terdiri daripada 10 lelaki dan 17 wanita, lapan kanak-kanak lelaki serta tiga kanak-kanak perempuan yang menyewa di tapak perkhemahan itu," katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata kesemua mangsa ditemukan dalam keadaan selamat dan air di kawasan itu semakin surut.
-- BERNAMA
#kepala air #bomba #mangsa selamat #Perkhemahan #batang kali