Bomba selamat pendaki wanita terjatuh di Gunung Irau
Bernama
Oktober 30, 2016 18:16 MYT
Oktober 30, 2016 18:16 MYT
Jabatan Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands berjaya menyelamat dan membawa keluar seorang pendaki wanita yang cedera setelah terjatuh ketika dalam perjalanan menuruni Gunung Irau petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands, Muhamad Haziq Hazmi berkata operasi menyelamat mangsa Nuraimisuliana Mohd Ariffin, 32, dari Temerloh mengambil masa hampir 12 jam dan hanya berjaya dibawa keluar pada pukul 9 pagi tadi berikutan keadaan trek yang mencabar dan licin akibat hujan.
"Bomba menerima panggilan kecemasan pukul 6.26 petang semalam mengatakan seorang pendaki wanita terjatuh akibat trek yang licin ketika menuruni gunung di pusat pemeriksaan Bonsai pada ketinggian 1,700 meter dari paras laut.
"Kita kemudian menghantar sepasukan penyelamat yang terdiri daripada empat anggota bomba dan seorang anggota polis. Sebaik tiba di tempat kejadian didapati mangsa mengalami kecederaan di kedua-dua lutut menyebabkannya tidak dapat berjalan.
"Berikutan itu, kita terpaksa memapah selain mengusung mangsa bergilir-gilir sebelum membawanya keluar pada pukul 9 pagi tadi untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Berikutan itu juga Muhamd Haziq menasihati mereka yang gemar mendaki supaya sentiasa berhati-hati atau menangguhkan sementara aktiviti tersebut terutama pada musim tengkujuh ini untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Jabatan Perhutanan Pahang sebelum ini telahpun mengeluarkan notis memaklumkan semua Taman Eko Rimba dan Hutan Taman Negeri di negeri itu ditutup sementara untuk sebarang aktiviti termasuk pendakian bermula 1 Nov ini hingga 31 Jan tahun depan. -- BERNAMA