Bomba proses 21,300 pelan babit keselamatan kebakaran tahun lepas

Bernama
Julai 17, 2023 04:30 MYT
Bagi 8,450 buah premis yang sudah beroperasi dan diklasifikasikan sebagai premis ditetapkan, 68.46 peratus mempunyai Perakuan Bomba dan selebihnya masih belum mematuhi FC. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Sebanyak 21,300 pelan arkitektural, pelan mekanikal dan elektrikal diterima serta diproses Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tahun lepas.
Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti) Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Suhaimi Ali@Ahmad berkata sebanyak 12,355 atau 58 peratus daripada jumlah itu mematuhi peraturan dan kehendak kebombaan, manakala 8,945 pelan atau 42 peratus telah ditolak.
Sementara itu, katanya bagi sokongan terhadap Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pula sebanyak 3,140 pemeriksaan dijalankan dan 2,803 (89.2 peratus) telah dikeluarkan sokongan sepanjang 2022.
"Bagi bangunan yang sudah beroperasi dan diklasifikasikan sebagai premis ditetapkan, terdapat 8,450 buah premis di seluruh negara meliputi sembilan kategori.
"Sebanyak 5,785 buah (68.46 peratus) mempunyai Perakuan Bomba (FC) dan selebihnya masih belum mematuhi FC seperti di bawah Akta 341 Perkhidmatan Bomba," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar Keselamatan Kebakaran 2023 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, semalam.
Suhaimi berkata ketelitian semua pihak seperti pemilik premis, kontraktor, pegawai keselamatan kebakaran dan agensi teknikal amat dituntut bagi memastikan aspek keselamatan kebakaran tidak terabai.
Menyentuh mengenai program semalam, Suhaimi berkata seminar yang disertai lebih 1,200 peserta daripada syarikat dan firma sekitar Lembah Klang itu dilihat sebagai platform terbaik untuk memberi penerangan terhadap peraturan dan piawaian teknikal.
-- BERNAMA
#JBPM #pelan keselamatan kebakaran #KPKT #pelan mekanikal dan elektrikal
;