Bomba periksa 95 bangunan dalam kempen keselamatan kebakaran

Bernama
Mei 31, 2018 14:28 MYT
Orang ramai disaran jangan amalkan tiga perkara iaitu Lalai, Leka dan Lupa (3L) dan perlu sentiasa berwaspada dengan peralatan elektrik. - Gambar hiasan
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan sudah memeriksa sebanyak 95 premis dalam Program Keselamatan Kebakaran Bangunan di seluruh negeri ini.
Pengarahnya, Nazili Mahmood berkata pasar raya adalah bangunan yang paling banyak diperiksa iaitu 40 buah selain hotel, hospital dan tempat-tempat tumpuan ramai.
Beliau berkata aspek keselamatan perlu dilihat lebih khusus bagi memastikan tahap keselamatan premis sentiasa dalam keadaan baik kerana ianya bakal menjadi lokasi tumpuan termasuk perantau yang pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri nanti.
Nazili berkata demikian kepada pemberita selepas Program Jalinan Mesra dan Berbuka Puasa Bersama Anggota Bertugas serta anak-anak yatim di Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu di sini, malam tadi.
Mengenai keselamatan jalan raya terutamanya di kawasan pintu masuk utama ke negeri ini seperti Jeli, Gua Musang dan Pasir Puteh, beliau berkata pihaknya sudah mengenal pasti beberapa kawasan berisiko tinggi berlaku kemalangan.
"Kita akan meletakkan jentera bersama anggota di kawasan strategik sebagai persediaan awal sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini. Kita juga akan membuat rondaan di kawasan berkenaan," katanya.
Nazili berkata dalam menghadapi musim perayaan kali ini, pihaknya sudah mengeluarkan arahan supaya 80 peratus anggota bomba diwajibkan bertugas sementara selebihnya boleh mengambil cuti.
Dalam perkembangan sama, Nazili berkata jabatannya menasihatkan kepada golongan suri rumah supaya jangan mengamalkan tiga perkara iaitu Lalai, Leka dan Lupa (3L) dan perlu sentiasa berwaspada dengan peralatan elektrik yang boleh mencetuskan kebakaran.
"Kita tahu kemungkinan di saat golongan ini sedang menyiapkan juadah berbuka atau bersahur kemungkinan mereka terleka akibat kepenatan.
"Bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini mereka dinasihatkan supaya lebih berhati-hati kerana kita tidak mahu sebarang malapetaka berlaku di saat orang ramai mahu menyambut Aidilfitri," katanya.
-- Bernama
#Aidilfitri #bangunan #bomba kelantan #Nazili Mahmood #pasar raya #perantau #periksa #Premis
;