Bomba Perak larang anggotanya main Pokemon GO
Bernama
Ogos 11, 2016 17:11 MYT
Ogos 11, 2016 17:11 MYT
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak hari ini melarang seluruh kakitangannya bermain Pokemon GO kerana permainan popular itu boleh mengundang kepada kemudaratan dan kelalaian.
Pengarahnya Datuk Yahaya Madis berkata sekiranya anggota pasukan keselamatan itu bermain ketika bertugas, dikhuatiri ia boleh menjejaskan konsentrasi mereka sehingga menyebabkan tahap perkhidmatan mereka merundum.
"Jika mereka bermain di luar waktu bekerja pula kita bimbang sekiranya mereka tidak cukup rehat kerana terlalu khusyuk bermain dan keluarga boleh terabai, jadi lebih elok kita arahkan jangan main," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Pertandingan Kawad Kecekapan JBPM Perak di sini, hari ini.
Pokemon GO berupa permainan realiti berperantara berasaskan lokasi yang dilancarkan pada 6 Julai lepas dan memasuki pasaran Malaysia dan lebih 30 negara lain bermula 6 Ogos.
Ia dibangunkan Niantic Incorporation of Nintendo USA yang memerlukan pemainnya mencari dan berlawan dengan karektor maya berdasarkan lokasi persekitaran sebenar melalui telefon pintar.
Yahaya turut menjelaskan sekiranya anggotanya tidak menerima sebarang panggilan kecemasan, mereka perlu mematuhi jadual latihan harian dan tidak seharusnya terlibat dengan permainan berkenaan.
"Bomba kalau tidak ada panggilan mereka tetap perlu sentiasa bersedia di balai dan mereka ini sebenarnya telah ada jadual latihan harian seperti membuat latihan asas, memeriksa jentera, peralatan dan sebagainya. Jadi kalau dia ada masa untuk bermain bermakna mereka tidak menjalankan tugas merekalah," katanya.
Tegas beliau, tindakan sewajarnya akan dikenakan pada mana-mana anggotanya yang didapati bermain permainan tersebut namun setakat ini, tiada lagi anggotanya yang ditangkap.
Mengenai majlis berkenaan, Yahaya berkata JBPM Perak menyasarkan untuk menjadi juara keseluruhan dalam pertandingan tersebut pada tahun ini yang bakal berlangsung di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (FRAM) Wilayah Timur, Terengganu bermula esok hingga 19 Ogos.
Beliau percaya pasukan yang terdiri daripada 45 anggota dan pegawai itu mampu memberi saingan sengit dalam kesemua sembilan acara yang dipertandingkan sekaligus memperbaiki pencapaian tahun lalu yang hanya mengutip masing-masing satu pingat emas, perak dan gangsa.
"Acara tahunan ini adalah bagi menilai tahap kompetensi dan kecekapan pegawai dan pasukan dalam bidang operasi kebombaan, oleh itu saya berharap Perak mampu membuat kejutan," katanya.