Bomba Perak kenal pasti 21 'hotspot' kemungkinan berlaku fenomena kepala air
Bernama
September 10, 2024 20:15 MYT
September 10, 2024 20:15 MYT
SERI ISKANDAR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak telah mengenal pasti 21 'hotspot' berisiko berlaku insiden kepala air di negeri ini, yang merangkumi lima daerah iaitu Hulu Perak, Larut Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar.
Pengarahnya Sayani Saidon berkata semua lokasi itu membabitkan kawasan perkelahan atau riadah dengan Kinta membabitkan lapan lokasi iaitu Kilometer (KM) 28 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, Pusat Rekreasi Lubuk Timah, Kledang Saiong, Kg Kota Raja, Ulu Chepor, Lata Peyel, Ulu Geruntum serta Sungai Jahang
"Bagi daerah Larut Matang dan Selama kita tumpu di Air Terjun Bukit Jana, Burmese Pool Bukit Larut, Lata Air Hitam dan Sempeneh selain Lata Kekabu, Kawasan Perkelahan Air Berok dan Air Terjun Lawin Selatan (Hulu Perak).
"Tumpuan turut diberikan di kawasan Hutan Lipur Ulu Kenas, Air Terjun Batu Hampar dan Lata Perahu (Kuala Kangsar) termasuk kawasan Air Terjun Batu Berangkai, Sungai Salu dan Sungai Sahom Kuala Dipang (Kampar)," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Bulan September JBPM Perak di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar di sini.
Sayani berkata pihaknya turut mengenal pasti kawasan-kawasan baharu berlakunya banjir kilat walaupun kawasan terbabit sebelum ini tidak termasuk dalam 'hotspot' yang disenaraikan.
"Sebagai contoh 19 orang yang terperangkap di Eko Park Risda Ulu Slim susulan kejadian kepala air di Kampung Sungai Bil Slim Village lalu, ia tidak termasuk dalam kawasan 'hotspot' sebelum ini.
"Kawasan berisiko seperti ini akan diberi perhatian termasuk melaksanakan tindakan awal menyelamat, dan JBPM sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga serta bersiap sedia sekiranya berlaku sebarang kemungkinan," katanya.
Sementara itu Sayani berkata 302 kawasan di seluruh negeri disenaraikan sebagai lokasi 'hotspot' banjir, dengan tertinggi adalah di daerah Kerian dengan 63 'hotspot'.
"Ia diikuti oleh Kinta (59), Larut Matang dan Selama (57), Kuala Kangsar (37), Hilir Perak (18), Hulu Perak (15), Batang Padang (14), Perak Tengah (13), Bagan Datuk (9), Manjung (5), dan Kampar (4).
"Jadi kita minta orang ramai menghentikan sementara aktiviti rekreasi dan perkelahan terutama di kawasan yang berisiko lemas dan kerap berlaku fenomena kepala air ketika musim tengkujuh yang bakal tiba," katanya.
-- BERNAMA