Bomba pecah pintu bilik, keluarkan wanita cuba bunuh diri

Aida Aziz
November 22, 2022 09:45 MYT
Anggota bomba membuka serta memecahkan pintu bilik sebelum menyerahkan mangsa kepada suaminya. - Foto JBPM Perak
IPOH: Anggota bomba terpaksa memecahkan pintu bilik bagi mengeluarkan seorang wanita yang mengalami kemurungan dan dipercayai cuba membunuh diri di sebuah rumah di Meru Raya, di sini pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.34 pagi.
Justeru katanya, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati seorang wanita berusia dalam lingkungan 30 tahun mengunci diri dalam bilik akibat kemurungan.
"Pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian diarahkan oleh komander operasi untuk membuka serta memecahkan pintu bilik dan menyerahkan mangsa kepada suaminya.
"Anggota bomba wanita yang ada di lokasi juga bertindak memujuk mangsa untuk bertenang seterusnya memberi kata-kata semangat," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Nor Azam Abd Rahman itu tamat pada jam 7.14 pagi.

* Orang ramai dialu-alukan membuat aduan sekiranya berhadapan masalah ketidakstabilan emosi.
Mereka boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi dengan para sukarelawan terlatih di Befrienders.
Befrienders ialah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.
Panggilan adalah percuma.
#bunuh diri #Kemurungan #JBPM #mengunci diri dalam bilik
;