Bomba Malaysia sedia bantu Indonesia padam kebakaran hutan tangani jerebu

Bernama
Oktober 4, 2015 13:53 MYT
WAN MOHD: Pihak bomba Malaysia mempunyai aset yang lengkap dan kemahiran yang diperlukan sekiranya mereka terpilih untuk menggalas misi memadam kebakaran yang berlaku di hutan dalam kawasan Sumatera dan Kalimantan itu.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) sedia membantu Indonesia memadam kebakaran di hutan negara berkenaan yang menjadi punca utama keadaan jerebu rentas sempadan melanda negara ketika ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohd Noor Ibrahim berkata pihaknya sedia menghulurkan bantuan sekiranya mereka (Indonesia) memerlukan sokongan negara luar termasuk Malaysia untuk membantu menangani masalah jerebu yang kian meruncing kebelakangan ini.
"Kebiasaannya, jika negara luar meminta bantuan negara kita terhadap sesuatu bencana, sudah semestinya mereka akan berhubung dengan kerajaan kita terlebih dahulu.
"Oleh sebab itu, kami memang bersedia untuk membantu jika keadaan memerlukan tetapi ia bergantung kepada pihak kerajaan sendiri kerana mereka yang memutuskan sama ada untuk menghantar pihak bomba menyertai misi memadam kebakaran yang melanda hutan di Indonesia," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Katanya, pihak bomba Malaysia mempunyai aset yang lengkap dan kemahiran yang diperlukan sekiranya mereka terpilih untuk menggalas misi memadam kebakaran yang berlaku di hutan dalam kawasan Sumatera dan Kalimantan itu.
"Kebakaran hutan ini berbeza dengan kebakaran biasa kerana hutan ini sangat besar ...ia menuntut pihak keselamatan untuk menggunakan segala aset yang ada bagi memadam kebakaran kerana operasi ini sangat mencabar.
"Selain itu, operasi ini juga memerlukan khidmat anggota yang ramai kerana ia meliputi kawasan yang sangat luas," katanya.
Setakat pukul 9 pagi ini, kualiti udara di kebanyakan kawasan seluruh Negara semakin merosot dengan beberapa kawasan di Lembah Klang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat dan satu kawasan merekodkan bacaan IPU bahaya 308 iaitu Shah Alam.
Semalam, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Madius Tangau dalam satu kenyataan berkata jerebu teruk yang melanda negara sejak pertengahan bulan lepas bakal berkurangan untuk tempoh singkat iaitu dari 6 Okt sehingga 9 Okt ini.
Namun, beliau berkata jerebu bakal melanda negara kembali bermula 10 Okt ini berikutan satu lagi ribut tropika diramalkan terbentuk di timur Filipina, jika kebakaran di Sumatera dan Kalimantan masih belum dipadamkan.
Mengulas lanjut mengenai situasi jerebu yang semakin membimbangkan ketika ini, Wan Mohd Noor menyarankan masyarakat untuk menghentikan sebarang aktiviti pembakaran terbuka bagi mengelak perkara lebih buruk terjadi.
"Saya berpendapat jika aktiviti ini (pembakaran terbuka) terus berleluasa, ia secara tidak langsung bakal memburukkan lagi keadaan jerebu di negara kita.
"Jadi, saya menggesa masyarakat untuk segera melaporkan aktiviti pembakaran terbuka kepada pihak bomba mahupun Jabatan Alam Sekitar jika mereka lihat aktiviti berkenaan berlaku di kawasan sekeliling mereka," katanya sambil menyeru masyarakat untuk mengurangkan aktiviti luar pada waktu ini kerana keadaan ini boleh menjejaskan kesihatan mereka.
#bomba #Indonesia #IPU #jerebu #JPBM #kebakaran hutan #Wan Mohd Noor Ibrahim
;