Bomba lemas: Hasil siasatan dijangka diketahui dua minggu lagi - Pengarah

Fareez Azman
Oktober 22, 2021 18:40 MYT
Hasil siasatan berhubung kematian Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh, anggota Bomba yang lemas ketika operasi menyelamat mangsa banjir di Sungai Putat, Melaka dijangka diketahui dua minggu lagi.
KRUBONG: Hasil siasatan berhubung kematian Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh, anggota Bomba yang lemas ketika operasi menyelamat mangsa banjir di Sungai Putat, Melaka dijangka diketahui dua minggu lagi.
Demikian jelas Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Abu Bakar Katain ketika ditemui Astro AWANI pada Jumaat.
Menurut beliau, ketika ini Jawatankuasa Siasatan Khas telah memulakan siasatan termasuk mengambil keterangan saksi kejadian.
"JBPM telah menubuhkan jawatankuasa siasatan, siasatan telah dimulakan dan saya mensasarkan hasil siasatan akan dapat dalam tempoh seminggu atau dua minggu akan datang.
"Beberapa perkara perlu diperincikan dan saksi kejadian perlu diambil keterangan untuk membantu siasatan," jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas mengiringi Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Syed Fazmi Sayid Mohamad di kediaman Allahyarham Mohd Diya di Taman Krubong Jaya di sini, hari ini.
BACA: Anggota bomba lemas ketika misi menyelamat meninggal dunia
BACA: Jenazah anggota bomba lemas selamat dikebumi
Sehingga kini, tambah Abu Bakar, seramai empat saksi telah dikenal pasti terdiri daripada orang awam yang membantu menyelamatkan mangsa dalam kejadian pada petang Rabu itu.
"Setakat ini yang dikenal pasti masyarakat awam tiga empat orang saksi kita kenal pasti untuk membuat rakaman siasatan.
"Jawatankuasa ini akan juga dilantik dalam kalangan pegawai dari Ibu Pejabat JBPM Putrajaya," jelasnya lagi.
#bomba lemas #banjir kilat Melaka #Mohd Diya Che Jusoh #Jawatankuasa Siasatan Khas
;