Bomba Lahad Datu selamatkan mangsa terperangkap banjir

Ridzal Abdullah
Januari 29, 2025 09:15 MYT
Anggota bomba ketika menyelamatkan empat sekeluarga yang terperangkap dalam banjir ketika melakukan kerja di kebun. - Astro AWANI
LAHAD DATU: Pasukan Bomba dan Penyelamat Lahad Datu berdepan detik cemas apabila menyelamatkan empat sekeluarga yang terperangkap dalam banjir ketika melakukan kerja di kebun pada malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Sumsoa Rashid dalam satu kenyataan media hari ini berkata pihak mereka menerima panggilan sekitar 4 petang dan operasi menyelamat selesai 9.48 malam.
Operasi tersebut turut dibantu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta penduduk kampung.
"Kita menghadapi cabaran dengan cuaca hujan yang kadang-kadang lebat dan kadang-kadang renyai pada ketika itu.
"Di samping itu, kita juga berhadapan dengan cuaca hari yang semakin gelap dan cabaran yang utama adalah arus sungai yang mengalir begitu deras memberikan bahaya-bahaya yang agak besar kepada pasukan penyelamat," katanya.
Hujan beterusan sejak pagi semalam juga menyebabkan beberapa kawasan di timur Sabah dinaiki air termasuk di kawasan perkampungan dan ladang sawit di Lahad Datu dan Kinabatangan.
Pihak Bomba Negeri Sabah memantau perkembangan dan akan melaporkan dari semasa ke semasa.
#banjir2024 #monsun timur laut #Bah Kuning #mangsa banjir
;