Bomba kesan kebocoran gas ammonia di kilang NSK Sg Tua
Bernama
Jun 5, 2024 18:42 MYT
Jun 5, 2024 18:42 MYT
KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengesan kebocoran gas ammonia di Kilang NSK Sungai Tua, Jalan Sungai Tua, Bandar Baru Selayang, Selangor setelah menerima panggilan kecemasan menerusi MERS 999 pada 10.25 pagi tadi.
Ringkasan AI
- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor telah mengesan kebocoran gas ammonia di Kilang NSK Sungai Tua, Bandar Baru Selayang, Selangor.
- Pemeriksaan mendapati terdapat kebocoran pada satu daripada empat silinder yang menyimpan gas ammonia di bahagian stor kilang.
- Operasi turut melibatkan pasukan HAZMAT (Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya) daripada BBP Shah Alam yang membuat kerja-kerja intervensi bagi menutup injap silinder ammonia yang bocor.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar dalam kenyataan hari ini berkata kebocoran gas ammonia itu berlaku di bahagian stor kilang berkenaan.
"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kebocoran pada satu daripada empat silinder yang menyimpan gas ammonia di bahagian stor berkenaan.
"Pihak jabatan telah membuat pengungsian (mengosongkan) bangunan dan melakukan nyahcemar di tempat operasi," katanya.
Mukhlis berkata sembilan pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang digerakkan ke lokasi kejadian.
"Operasi turut melibatkan pasukan HAZMAT (Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya) daripada BBP Shah Alam telah membuat kerja-kerja intervensi untuk menutup injap silinder ammonia yang bocor," katanya.
Turut berada di lokasi kejadian Ketua Balai BBP Bukit Sentosa Mohd Kamil Hamadan dan Pegawai Operasi Zon Mohd Azizi Mohd Nahrowei.
-- BERNAMA