Bomba kenal pasti hampir 5,000 lokasi berisiko banjir seluruh negara
Bernama
September 26, 2023 17:00 MYT
September 26, 2023 17:00 MYT
KUALA NERUS: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah mengenal pasti 4,795 lokasi berisiko banjir di seluruh negara, kata Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Datuk Ahmad Izram Osman,
Beliau berkata ketika ini negara mengalami musim peralihan Monsun Timur Laut (MTL) dengan hujan lebat dan banjir mula melanda beberapa negeri termasuk di kawasan Pantai Barat Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Katanya sehubungan itu JBPM telah membuat persiapan rapi dari segi penyediaan anggota, aset dan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk menghadapi segala kemungkinan bencana yang bakal tiba mengiringi musim peralihan monsun itu.
"Kita buat pemantauan dan tinjauan (cuaca) setiap tiga jam dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia). Dari segi ramalan, keadaan hujan dan angin, data-data akan dicerap oleh pusat pengurusan operasi di ibu pejabat dan juga setiap negeri untuk diambil tindakan atau langkah berjaga-jaga," katanya.
Bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas program Bicara Governans, Integriti dan Anti Rasuah (BiGIAR) 2023 Peringkat Zon Timur di sini, hari ini beliau berkata, selain khidmat 14,000 pegawai dan anggota tetap JBPM, kerja-kerja membantu dan menyelamat mangsa banjir juga akan disokong oleh 7,920 anggota bomba sukarela di seluruh negara.
Merujuk kepada program BiGIAR, beliau berkata 500 peserta termasuk kakitangan JBPM, agensi kerajaan dan pekerja sektor korporat dari Pahang, Kelantan serta Terengganu menyertai BiGIAR yang dianjurkan bagi tujuan meningkatkan tahap integriti warga kerja.
Sementara itu Ahmad Izram berkata 41 pegawai JBPM telah dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan tatatertib dalam tempoh antara Januari dan semalam.
Menurutnya antara kesalahan itu termasuk penyalahgunaan dadah, tidak hadir bertugas, mengadakan hubungan sulit, khalwat, jenayah seksual, rasuah dan salah guna kuasa.
"Tindakan yang dikenakan pula melibatkan hukuman buang kerja, denda, penangguhan pergerakan gaji, turun gaji dan lucut hak emolumen," katanya.
Selain itu katanya JBPM turut menerima 50 aduan bagi tempoh Januari hingga semalam melibatkan kakitangannya dan sebahagian besar membabitkan kesalahan salah guna kuasa.-- BERNAMA