Bomba kenal pasti enam negeri tumpuan hadapi Monsun Timur Laut
Bernama
Oktober 18, 2021 19:38 MYT
Oktober 18, 2021 19:38 MYT
KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) telah mengenal pasti enam negeri untuk diberikan perhatian khusus dalam menghadapi Monsun Timur Laut atau bencana banjir yang dijangka bermula Oktober hingga Mac 2022.
Ketua Pengarah JBPM Mohammad Hamdan Wahid berkata negeri terbabit adalah Sarawak, Sabah, Johor, Kelantan, Terengganu dan Pahang.
"Tidak menidakkan negeri yang lain, persiapan menghadapi bencana pun kita (Bomba) buat, cuma dari segi logistik akan diletakkan di pangkalan hadapan (zon yang telah dikenal pasti) macam di Sarawak kita telah tetapkan tiga zon iaitu Kuching, Sibu dan Miri.
"Pangkalan hadapan kita (Bomba) akan sediakan peralatan logistik untuk Marin seperti pengangkutan bagi mengendali mangsa banjir dan juga bagi melaksanakan tugas mencari dan menyelamat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja Kesiapsiagaan Bencana Banjir di Balai Bomba dan Penyelamat di sini, hari ini.
Mohammad Hamdan berkata di Sarawak, pangkalan udara JPBM akan berpangkalan di Miri sebagai persediaan jika berlakunya sebarang bencana di kawasan pedalaman sekiranya jalan utama atau jalan darat telah terputus akibat banjir.
"Kita juga telah mengenal pasti kawasan hotspot yang mempunyai cerun berbahaya. Di Sarawak kita telah kenal pasti ada 77 (cerun berbahaya) dan 97 jalan yang mungkin terputus dan lebih 100 hotspot banjir.
"Tempat-tempat ini kita akan fokus untuk memberikan bantuan dari aspek pengendalian bencana, pemindahan mangsa dan juga menyelamatkan harta benda," katanya.
Tambah Mohamad Hamdan, sebanyak 1,300 orang anggota bomba dari 36 balai bomba di seluruh negeri ini juga telah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang bencana.
"JBPM turut bekerjasama serta berkolaborasi dengan agensi-agensi berkaitan sebagai kesiapsiagaan dari aspek tenaga manusia, logistik, maklumat, tugasan lapangan dan sebagainya.
"Kita (Bomba) akan cuba sebaik mungkin bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat jika berlakunya sebarang bencana," katanya.
Beliau juga menasihati orang ramai agar peka dengan segala maklumat terkini mengenai amaran bahaya bencana yang dikeluarkan oleh agensi berkaitan sebagai langkah berjaga-jaga.
-- BERNAMA
#bomba
#monsun timur laut
#banjir
#Mohammad Hamdan Wahid
#Sarawak
#Sabah
#Johor
#Kelantan
#terengganu
#Pahang