Bomba Kelantan kenal pasti 595 'hotspot' banjir
Bernama
September 28, 2022 17:24 MYT
September 28, 2022 17:24 MYT
KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mengenal pasti 595 kawasan 'hotspot' yang berisiko berlaku banjir sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.
Pengarahnya Zainal Madasin berkata kawasan "hotspot' itu melibatkan tujuh daerah di negeri itu yang dikenal pasti kerap berlaku banjir setiap tahun.
"Ia membabitkan Gua Musang, Kuala Krai, Rantau Panjang, Tumpat, Kota Bharu, Tanah Merah dan Jeli dengan kebanyakan di kawasan kampung.
"Kita akan memberi tumpuan lebih kerana boleh dikatakan kerap berlaku banjir setiap tahun dan pemantauan telah dilakukan sejak pertengahan bulan ini," katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat JBPM Kelantan, Tunjong di sini hari ini.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan negara mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November yang mendorong kepada banjir besar pada penghujung bulan itu.
MetMalaysia menjangkakan impak cuaca yang dialami lebih signifikan memandangkan MTL yang aktif pada tempoh itu sekali gus risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi.
Mengulas lanjut, Zainal berkata anggota bomba telah mula melakukan pemantauan terutama melibatkan paras air sungai utama di setiap daerah.
"Pemantauan itu adalah laporan untuk diserahkan kepada pihak pengurusan bencana alam negeri dan pusat sebelum tindakan selanjutnya dilakukan," katanya.
Zainal berkata hampir 1,300 pegawai dan anggota termasuk bomba bantuan dan bomba sukarela telah bersiap sedia dengan latihan bagi penugasan sepanjang tempoh MTL.
-- BERNAMA
#jbpm kelantan
#bomba kelantan
#kawasan hotspot
#banjir
#bencana banjir
#banjir kelantan
#MTL
#monsun timur laut