Bomba kawal kebakaran sembilan lokasi di Perak
Bernama
Mac 14, 2014 17:59 MYT
Mac 14, 2014 17:59 MYT
Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak mengawal kebakaran hutan di sembilan lokasi berasingan di sekitar negeri itu.
Pegawai Perhubungan Awam JBPM Perak Mohd Fadli Nik Abu berkata kebakaran melibatkan kawasan di Kilometer 16 Jalan Raya Timur Barat, Kilometer 16 Gerik, Kilometer 16 Gerik atas bukit, Tanjung Rambai di Gerik, Estet Ganda di Teluk Intan, Perlop di Sungai Siput, Bukit Bintang di Selama, Gunung Lang di Ipoh dan Kampung Sinju Jalan Cameron Highlands.
"Keluasan kawasan kebakaran yang terlibat semakin mengecil dan keadaan akan semakin pulih sepenuhnya," katanya di sini Jumaat.
Beliau berkata bomba telah memadam kebakaran sepenuhnya di tiga lokasi iaitu Kilometer 11 Gerik, Kilometer 11 atas bukit jalan ke Jeli dan tapak pelupusan sampah di Changkat Jong. Bagaimanapun pemantauan dan penempatan anggota masih dilakukan di kawasan berkenaan.
Dalam operasi hari ini, sebanyak 181 anggota termasuk anggota dari Jabatan Pertahanan Awam terbabit dalam operasi memadam dan mengawal kebakaran di lokasi berkenaan, katanya.