Bomba giat padam sisa kebakaran Bukit Semanggol
Bernama
Jun 17, 2023 13:50 MYT
Jun 17, 2023 13:50 MYT
IPOH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak meneruskan operasi memadam sisa kebakaran kawasan hutan di Bukit Semanggol, Jalan Kubu Gajah dekat Gunung Semanggol seluas dua hektar yang terbakar petang semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya telah melakukan pemantauan selepas operasi pemadaman yang mengambil masa tujuh jam semalam.
"Ada kawasan yang api telah padam, namun masih ada sisa-sisa bara di bahagian dalam tanah yang berisiko kembali terbakar jadi kita teruskan operasi pagi ini.
"Kaedah pemadaman menggunakan 'fire beater' kita gunakan dalam operasi pagi ini sehinggalah kita yakin tiada lagi punca api yang boleh menyebabkan kebakaran berlaku kembali," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, operasi hari ini disertai 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai, Taiping, Kuala Kurau, Pasukan Pelbagai Kemahiran (MUST) dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bagan Serai dan tamat 11.53 pagi.
Kebakaran itu bermula petang semalam dan laporan mengenainya diterima bomba pada 4.37 petang.
Sementara itu, Sabarodzi mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka bagi mengelakkan kebakaran dan kesan jerebu.
"Dalam tempoh Monsun Barat Daya, pembentukan awan hujan kurang berlaku sepanjang tempoh ini dan fenomena jerebu boleh berlaku sekiranya pembakaran terbuka tidak terkawal terutamanya pada bulan Julai hingga September," katanya.
-- BERNAMA