Bomba di lima negeri terima penarafan lima bintang
Hasimi Muhamad
Januari 22, 2022 13:30 MYT
Januari 22, 2022 13:30 MYT
PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di lima negeri menerima penarafan lima bintang terhadap perkhidmatan sepanjang 2021.
Lima negeri tersebut ialah Johor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Perak, Pulau Pinang serta Sarawak.
Menurut Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, daripada lima negeri berkenaan, Johor dan Kuala Lumpur dikategorikan sebagai cemerlang.
“Penarafan bintang ini dibuat berdasarkan System Star Rating (SSR) yang menggunakan garis panduan yang ditetapkan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).
“Lima negeri memperolehi lima bintang, manakala 11 negeri memperolehi penarafan empat bintang,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perbarisan Tahunan 2022, di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Mohammad Hamdan berkata penilaian merangkumi aspek prestasi, keanggotaan, pengurusan logistik, dan pengurusan biasa.
Selain itu, ia turut mengambil kira aspek pengurusan kualiti, kutipan hasil, penjagaan aset, serta perbelanjaan.
“Penilaian individu hanya dibuat melalui Individual Physical Proficiency Test (IPPT).
“Itu bertujuan untuk tengok tahap kecergasaan dan kesihatan,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Mohammad Hamdan ketika berucap berkata, pencapaian ‘response time’ jabatan adalah lebih baik berbanding tahun 2020.
Katanya, pada tahun 2020, purata Response Time Kebangsaan (RTK) adalah 11.58 minit.
Manakala, RTK pada tahun 2021 ialah 8.54 minit, penambahbaikan sebanyak 3.04 minit berbanding 2020.
Ujarnya lagu, sepanjang tahun 2021, sebanyak 167,989 kes kecemasan telah dihadiri oleh JBPM seluruh negara, atau 460 panggilan kecemasan dalam setiap satu hari.