Bomba cari kenderaan dipercayai terjatuh ke dalam laut

Astro Awani
Januari 20, 2019 11:38 MYT
Salah satu kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang. - Astro AWANI
Sebuah kenderaan dipercayai terjatuh ke dalam laut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang awal pagi Ahad.
Kenderaan itu dipercayai terjatuh selepas bertembung dengan sebuah kereta Toyota Vios yang dipandu seorang lelaki berusia 20-an.
Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Perai, Timbalan Penguasa Bomba Azlan Hassan berkata pihaknya bergegas ke lokasi kejadian dengan kekuatan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai dan Jalan Perak sebaik menerima panggilan jam 2.54 pagi.
Sebaik tiba di lokasi kejadian pihaknya mendapati kereta Toyota Vios remuk dibahagian depan dan pemandunya selamat.
Namun, pihaknya dimaklumkan sebuah lagi kenderaan yang terlibat dalam kemalangan terbabit telah jatuh ke dalam laut.
Azlan berkata pihaknya melakukan pencarian dilaut berpandukan maklumat awam yang mengatakan sebuah kenderaan telah terjatuh ke dalam laut.
"Apabila sampai, kami dapati sebuah Toyota Vios, dan menemui seorang pemandu lelaki berusia 20-an mengalami cedera ringan.
"Ikut maklumat orang awam, ada ada satu lagi kenderaan telah terjatuh ke dalam laut, dan usaha mencari sedang dilakukan," ujar Azlan.
Azlan berkata, pencarian sehingga jam 5 pagi Ahad belum menemukan sebarang kenderaan dan usaha mencari akan disambung semula pagi ini dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).
#azlan hassan #balai bomba #Jambatan Pulau Pinang #kemalangan #terhumban ke laut
;