Bomba buka tingkap, keluarkan warga emas meninggal dunia dalam rumah berkunci

Aida Aziz
Mac 15, 2025 07:55 MYT
Anggota dari BBP Simpang Pulai menggunakan peralatan khas bagi membuka tingkap rumah dan membawa keluar mayat warga emas yang meninggal dunia di ruang tamu. - Foto JBPM Perak
IPOH: Khidmat pasukan bomba diperlukan bagi mengeluarkan mayat seorang warga emas lelaki yang telah meninggal dunia di ruang tamu rumahnya, di Simpang Pulai, dekat sini.
Mangsa berusia 70 tahun itu ditemui dalam keadaan terbaring dalam rumah di Jalan Tasik Botani A/2, Seri Tasik Botani, Simpang Pulai, malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, panggilan diterima pada jam 9.22 malam.
"Terdapat seorang mangsa lelaki terbaring di ruang tamu telah meninggal dunia dan disahkan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia.
"Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai menggunakan peralatan khas bagi membuka tingkap rumah tersebut.
"Mangsa telah diserahkan pada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.
#warga emas #meninggal dunia di ruang tamu #rumah berkunci #bomba #simpang pulai
;