Bomba berjaya pujuk wanita cuba terjun dari tingkat lima
Adie Sufian Zulkefli
Mei 12, 2020 10:30 MYT
Mei 12, 2020 10:30 MYT
Bomba mengambil masa hampir 10 minit untuk memujuk seorang wanita yang nekad untuk terjun dari tingkat lima sebuah pangsapuri di Taman Setia Jaya, Jalan Langgar, Alor Setar.
Wanita berusia 20-an itu yang dipercayai mempunyai masalah peribadi naik ke tingkat atas pangsapuri berkenaan dan cuba untuk terjun, pada malam Isnin.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba Mohamadul Ehsan Mohd Zain, anggotanya berjaya menenangkan mangsa dan memujuknya supaya tidak terjun.
Beliau berkata, terdahulu pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.20 malam dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar yang tiba ke lokasi ternampak seorang wanita menjerit di atas bangunan.
Katanya, usaha memujuk wanita itu berjaya dilakukan walaupun pada mulanya dia bertindak agresif.
Wanita itu diselamatkan pada jam 10.48 malam dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Orang ramai dialu-alukan membuat aduan sekiranya berhadapan masalah ketidakstabilan emosi.
Mereka boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi kepada para sukarelawan terlatih di Befrienders.
Befrienders adalah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.
Befrienders boleh dihubungi di talian 03-7956 8145/8144 secara percuma atau e-mel kepada sam@befrienders.org.my untuk bantuan.