Bomba berjaya halang cubaan lelaki terjun dari tingkat 31

Sinar Harian
Jun 22, 2022 07:15 MYT
Seramai 20 anggota bomba terlibat dalam usaha untuk membawa turun lelaki terbabit dengan selamat.
KOTA BHARU: Seorang lelaki dipercayai cuba terjun dari tingkat 31 di sebuah bangunan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) yang masih dalam pembinaan di Lembah Sireh, dekat sini pada Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Darul Naim, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Ridzuan Ali berkata, bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian seorang lelaki berusia 27 tahun dilaporkan cuba terjun dari bangunan terbabit pada jam 10.50 pagi dan bergegas ke lokasi.
“Sebaik tiba di lokasi, bomba mendapati lelaki terbabit duduk di atas kren yang diletakkan di tingkat 31 bangunan yang sedang dalam pembinaan.
“Usaha memujuk lelaki terbabit sedang dijalankan oleh keluarganya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Menurutnya, seramai 20 anggota bomba terlibat dalam usaha untuk membawa turun lelaki terbabit dengan selamat.
“Anggota dan pegawai yang terlibat dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Darul Naim dan Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu,” katanya.
*Berita asal disiarkan di Sinar Harian

Bagi yang memerlukan perkhidmatan sokongan emosi, boleh menghubungi talian tertera:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WHATSAPP Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan)
KSK-Care JAKIM di WHATSAPP 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929
#Balai Bomba dan Penyelamat #terjun dari tingkat 31 #bangunan dalam pembinaan #Perumahan Penjawat Awam Malaysia
;