Bomba beri fokus utama kurangkan kematian akibat lemas
Bernama
Ogos 4, 2018 07:08 MYT
Ogos 4, 2018 07:08 MYT
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan memberi fokus utama kepada pelaksanaan program keselamatan di air bagi meningkatkan kesedaran dan langkah pencegahan bagi mengurangkan jumlah kematian akibat lemas dalam air.
Ketua Pengarah JBPM, Mohammad Hamdan Wahid berkata ini kerana berdasarkan statistik JBPM jumlah kematian lemas dalam air adalah lebih tinggi berbanding kematian akibat kebakaran sejak kebelakangan ini.
Beliau berkata sepanjang tahun lepas, 297 kematian akibat lemas dalam air direkodkan di seluruh negara berbanding 165 orang terkorban dalam kebakaran, sementara dalam enam bulan pertama tahun ini jumlah lemas dalam air melibatkan 215 orang berbanding lima orang maut dalam kebakaran.
"Kebanyakan insiden lemas berlaku dalam tempoh tersebut adalah di sungai atau tali air, diikuti pantai, tasik atau lombong, air terjun jeram dan pembentung.
"JBPM adalah agensi terlibat dengan insiden lemas, apabila kita respons kita hanya angkat mayat dan jarang mangsa selamat. Jadi kita sebenarnya lebih tahu masalah keselamatan di air dan bagaimana mencegahnya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Keselamatan Kebakaran Bomba Melaka di sini, pada Sabtu.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Soiman Jahid dan Pengarah JBPM Melaka Kamarulzaman Malik Abdullah.
Mengulas lanjut, Mohammad Hamdan berkata program kempen keselamatan di air akan menekankan dua elemen utama iaitu pendidikan dan penguatkuasaan bagi mencegah berlakunya insiden lemas.
Beliau berkata program tersebut juga akan melibatkan kerjasama pelbagai pihak antaranya pihak berkuasa tempatan, badan bukan kerajaan, pemain industri pelancongan dan agensi seperti Jabatan Pengairan dan Saliran.
"Kita menghantar surat kepada Ketua Pengarah Pendidikan dan Unit Kurikulum agar beberapa modul berkaitan keselamatan di air dapat diwujudkan dan kita akan menggunakan Kadet Siswa Bomba di sekolah sebagai perantara untuk modul berkenaan.
"Penguatkuasaan lebih ketat atau tegas juga perlu dilaksanakan sekiranya makluman atau pencegahan awal tidak diikuti. Contohnya jika larangan mandi atau bermain di air diletakkan namun ia tidak dipatuhi maka tindakan undang-undang perlu dikenakan," katanya.
-- BERNAMA