Bomba bantu turunkan lelaki cedera semasa mendaki di hutan Pasir Bogak

Aida Aziz
September 12, 2022 23:18 MYT
Anggota bomba melakukan kerja-kerja untuk membawa mangsa turun ke kaki bukit. - Foto JBPM Perak
PANGKOR: Khidmat bomba diperlukan untuk membawa turun salah seorang mangsa lelaki yang mengalami kekejangan otot ketika melakukan aktiviti mendaki di hutan Pasir Bogak, di sini, malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.27 malam.
Susulan itu, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pulau Pangkor bergegas ke lokasi.
"Setibanya jentera di lokasi mendapati terdapat dua orang mangsa berusia sekitar 30 tahun, salah seorang daripadanya mengalami kekejangan otot dan tidak dapat meneruskan perjalanan.
"Anggota bomba kemudiannya melakukan kerja-kerja untuk membawa mangsa itu turun ke kaki bukit," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, anggota bomba membawa mangsa yang cedera menggunakan alat pengusung ke kaki bukit dan menyerahkannya kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi rawatan susulan.
Operasi yang diketuai PPgB Shah Al Haffiz Mohd Redzuan itu tamat pada jam 12 tengah malam.
#mendaki #kekejangan otot #hutan Pasir Bogak #bomba Pulau Pangkor