Bomba bantu selamatkan pendaki Gunung Korbu sesak nafas
Abd Razak Mohd Ali
Februari 28, 2022 08:00 MYT
Februari 28, 2022 08:00 MYT
TAMBUN: Anggota bomba membantu menyelamatkan seorang pendaki yang mengalami sesak nafas di puncak Gunung Korbu, dekat sini, malam tadi.
Wanita berusia dalam lingkungan 20-an itu dikatakan mengalami alahan asma dan memerlukan rawatan segera.
Mangsa adalah sebahagian pendaki yang melakukan ekspedisi ke puncak Gunung Korbu sejak minggu lalu dan dalam perjalanan turun.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai kejadian pada 7.41 malam.
“Pasukan penyelamat seramai enam orang bersama malim gunung telah melakukan penjejakan, yang dipercayai dua jam perjalanan ke lokasi mangsa berada,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut jurucakap itu lagi, mangsa berjaya dibawa ke kaki gunung dan diserahkan kepada Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan awal.
Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan selanjutnya.
Operasi yang diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun, Pegawai Kanan Bomba I, Shaharuddun Abd Ghani, tamat jam 1 pagi ini.