Bomba bantu pindahkan pesakit obesiti dari Hospital P. Pinang ke Kuala Kangsar

Dewi Nur Harasha Alias
Julai 30, 2021 18:33 MYT
Anggota bomba dan petugas kesihatan Hospital Pulau Pinang mengangkat lelaki yang mengalami masalah obesiti dengan berat badan 250 kilogram untuk dipindahkan ke Hospital Kuala Kangsar, Perak pada Jumaat. - Gambar Ihsan Bomba
GEORGE TOWN: Pasukan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang dipanggil bagi membantu mengangkat lelaki yang mengalami masalah obesiti dengan berat badan 250 kilogram (kg) dari wad Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dipindahkan ke Hospital Kuala Kangsar (HKK), Perak hari ini.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal, Abdul Manaf Kadir berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pihak hospital sekitar pukul 2.52 petang.
Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal bergegas ke hospital berkenaan untuk membantu memindahkannya ke Unit Kecemasan & Trauma, Hospital Kuala Kangsar, Perak
Menurutnya, pihak bomba menggunakan lori muatan tiga tan untuk memindahkan pesakit terbabit.
"Kerja-kerja mengangkat pesakit seberat 250 kilogram itu dilakukan dengan bantuan petugas hospital sebelum pesakit dibawa masuk ke dalam lori Isuzu tiga tan milik bomba," kata Abdul Manaf.
Beberapa anggota bomba serta petugas hospital turut mengiring kenderaan tersebut bagi melakukan pemantauan dalam perjalanan yang mengambil masa lebih dua jam itu.
#pesakit obesiti #Hospital Pulau Pinang #Hospital Kuala Kangsar #Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal #berat badan 250 kilogram
;